Saturday 21 April 2012

Rumah sebuah-sebuah yang selesa + lot tanah, harga RM70,000 hingga RM150,000 untuk pasangan muda


Program perumahan ‘Rimbunan Kasih’ Kerajaan Negeri ini juga mempelawa pemaju membangunkannya dengan jaminan 30 peratus margin keuntungan!

RUMAH SEBUAH-SEBUAH... Ini sekadar contoh bagi menggambarkan rumah sebuah-sebuah, dengan kawasan tanah yang lapang. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Perkhabaran baik untuk pasangan muda yang baharu berumahtangga khususnya yang berpendapatan bulanan antara RM2,000 dan RM4,000!

Kerajaan Negeri sedang berusaha melaksanakan program perumahan dikenali ‘Rimbunan Kasih’ bagi menyediakan rumah sebuah-sebuah yang selesa dengan tawaran harga cuma antara RM70,000 dan RM150,000 sebuah.

Bagi menampung pembiayaan untuk pembelian rumah yang pastinya mampu dimiliki ini, Kerajaan Negeri akan berbincang dengan bank tempatan bagi menyediakan kemudahan pinjaman yang menarik.  

“Kita akan membina rumah khusus bagi mereka yang baharu bekerja, pasangan muda. Kita akan ‘complement’ atau melengkapkan apa yang dibuat oleh pihak PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia).

“Target (sasaran) kita ialah mereka yang berpendapatan antara RM2,000 dan RM4,000,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media pagi Jumaat, 20 April, di Hyatt Regency Kuantan.

KERAJAAN NEGERI SERAP KOS INFRA DAN TANAH

Buat permulaan katanya, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti tiga (3) kawasan di Bentong yang berkeluasan gabungan kira-kira 405 hektar untuk menjayakan program perumahan ini.

Dalam pada itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan menawarkan kepada para pemaju perumahan yang berminat untuk menyertai program ini dengan jaminan margin keuntungan yang telah Kerajaan Negeri tetapkan sebanyak 30 peratus!  

Jaminan ini dimungkinkan ekoran segala kos infrastruktur dan pula tanah yang bakal dibina diatasnya rumah-rumah berkenaan, adalah dibiayai dan disediakan oleh Kerajaan Negeri sendiri.   

“Yang ini Kerajaan Negeri akan buat sendiri. Kita akan bincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk minta sedikit peruntukan. Semua infrastruktur akan disiapkan oleh Kerajaan.

“Kita akan bincang dengan pemaju-pemaju, kita akan dapatkan ‘costing’nya berdasarkan penilaian yang akan dibuat oleh Quantity Surveyor (QS) kita, dan kita akan beri margin (keuntungan) 30 peratus,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

KONSEP IBS... Ini merupakan antara contoh pembinaan menggunakan konsep IBS. Sungguhpun dindingnya lompong, tetapi kukuh hingga mampu menahan angin berkelajuan 120 km sejam.


RUMAH SIAP DALAM DUA MINGGU, BOLEH TAHAN RIBUT, SUHU LEBIH RENDAH

Menjelaskan lebih lanjut tentang program ini katanya, rumah sebuah-sebuah ini akan dibina menggunakan konsep Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) yang kini telah diiktiraf sebagai kaedah pembinaan utama negara.

“Rumah yang akan kita bina nanti walaupun dia bunyi macam ‘hollow’ (lompong), alat-alatnya boleh dibawa dalam satu trak besar sahaja, boleh siap dalam tempoh dua minggu. Suhunya lima (5) darjah lebih rendah daripada suhu rumah biasa tanpa ‘air-cond’ dan ia tahan kelajuan angin 120 km sejam.

“Maknanya,  ribut macam manapun ia boleh tahan. Yang ini kita hendak beri kepada anak-anak (pasangan muda). Tinggal lagi, kalau mereka hendak menambah-baik itu kemudian cerita. Pokoknya mereka ada (rumah dengan) lot (tanah) yang sesuai,” katanya.

“Sekarang ini,” katanya lagi, “Kalau kita perhatikan rumah yang dibuat oleh pihak swasta, nak masukkan katil sebuahpun susah (oleh kerana saiz rumah yang sempit). Nak masuk kancil sebuah, dua buahpun sakit (ke dalam ruangan ‘porch’).

“Kita akan buat keadaan di mana sekurang-kurangnya dua buah kereta boleh diletakkan (di bahagian ‘porch’ rumah-rumah ini) dengan selesa”.

KERJA BUKAN UNTUK PILIHANRAYA, TAPI DEMI KESELESAAN RAKYAT

Dato’ Sri DiRaja Adnan menambah kata, “Ini hasrat kita. Saya tak mahu cakap panjang nanti orang kata kita hendak memancing undi untuk pilihanaya. Pilihanraya kita tak tahu bila, lambat lagi… Yang pembangkang pergi buat macam-macam letih sahaja, buang masa sahaja. Tunggulah… khabar kat dia orang.

“Kita kerja ini bukan untuk pilihanraya. Kita fikir, kalau kita tak buat ini, anak-cucu kita nanti mungkin tidak mampu memiliki rumah yang selesa”.

Dato’ Sri DiRaja Adnan sebelum itu turut menyoroti bagaimana semasa zaman beliau lulus sarjana muda dengan kepujian disusuli diploma pendidikan, dengan gaji permulaan ketika itu sekadar RM850 sebulan manakala rakan-rakannya yang memperolehi ijazah am cuma RM750 sebulan.

“Ada dua orang kawan saya yang bekerja empat-lima (4-5) tahun lebih awal daripada saya, dan mereka berkahwin dengan pasangan masing-masing – ada yang jadi pegawai kerajaan, ada yang jadi staff nurse;

“Mereka (yang kini sudah bersara) akhirnya dapat memiliki kurang-kurang dua (2) buah rumah, kalau tidakpun tiga buah. Dan kereta, kurang2pun dua buah kalau tidakpun tiga. Dan, anak-anak mereka berjaya mencapai pelajaran ke peringkat tinggi.

SEDAR HAKIKAT MAKA TAWARKAN RUMAH KONSEP IBS INI

“Apa maknanya ini. Maknanya ialah, pertama sekali, adanya peluang yang disediakan oleh Kerajaan untuk anak-anak belajar.

“Dan yang keduanya, tingkat gaji pada masa itu secara relatifnya dengan harga rumah, masih lagi dalam kemampuan untuk mereka yang membeli, tetapi sekarang ini tidak lagi.

“Oleh sebab menyedari akan hakikat ini maka kita (Kerajaan Negeri) akan buatkan rumah yang berharga diantara RM70,000 hingga RM150,000,” katanya. – Khabar  


MATA KE MATA;

*** “Kita akan membina rumah khusus bagi mereka yang baharu bekerja, pasangan muda. Kita akan ‘complement’ atau melengkapkan apa yang dibuat oleh pihak PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia).

“Target (sasaran) kita ialah mereka yang berpendapatan antara RM2,000 dan RM4,000.”
        
*** Jaminan margin keuntungan 30 peratus ini dimungkinkan ekoran segala kos infrastruktur dan pula tanah yang bakal dibina diatasnya rumah-rumah berkenaan, adalah dibiayai dan disediakan oleh Kerajaan Negeri sendiri.   

*** “Rumah yang akan kita bina nanti walaupun dia bunyi macam ‘hollow’ (lompong), alat-alatnya boleh dibawa dalam satu trak besar sahaja, boleh siap dalam tempoh dua minggu. Suhunya lima (5) darjah lebih rendah daripada suhu rumah biasa tanpa ‘air-cond’ dan ia tahan kelajuan angin 120 km sejam.

“Maknanya,  ribut macam manapun ia boleh tahan.”

*** “Kita kerja ini bukan untuk pilihanraya. Kita fikir, kalau kita tak buat ini, anak-cucu kita nanti mungkin tidak mampu memiliki rumah yang selesa”.